14 June 2008

Noraniza Belum Bersedia

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN

Sumber : Utusan Malaysia 28 April 2008

Noraniza Idris bersama pengarah urusan Lestari Tours Sdn. Bhd, Anita Omar.

JERIH perit hidup sendirian sudah pun berakhir. Langkahnya kini tidak lagi keseorangan apabila dia bertemu jodoh dengan seorang usahawan dari sebuah negeri di utara tanah air berusia awal 50-an.

Namun, dia mengerti permainan sebagai anak seni menuntut tahap kesabaran yang tinggi. Sementelah setelah berumah tangga, pelbagai pula kisah-kisah kurang enak yang lagi masih singgah pada dirinya.

Tambahan pula sikapnya yang tidak mahu mendedahkan suaminya antara penyebab lebih banyak spekulasi ditimbulkan.

Tetapi biar apa jua yang tanggapan orang lain terhadap Noraniza Idris atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ani tetap dengan keputusannya untuk tidak mendedahkan siapakah suaminya.

“Saya lebih selesa dengan keadaan sebegini. Tak kisahlah apa yang orang nak cakap mengenai rumah tangga saya.

“Saya tetap dengan keputusan saya untuk tidak mendedahkan identiti suami saya,” tenang dia menjawab persoalan mengenai teka-teki identiti suaminya pada satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Meskipun masing-masing jarang bertemu dek kerana kesibukan namun itu bukanlah satu masalah besar baginya.

Jelas penyanyi yang popular menerusi lagu Awallah Dondang ini, dia sendiri sudah berjanji untuk memberi tumpuan pada kerjayanya.

“Saya ada perjanjian dengan diri saya sendiri. Walaupun dah berkahwin saya mahu memberi tumpuan pada pekerjaan saya dalam masa dua tahun ini. Sebab saya ada anak-anak yang mahu saya jaga dan berikan harta kepada mereka selagi saya mampu,” luah Noraniza menjelaskan pendiriannya.

Menyambung perbualan, anak seni kelahiran Johor ini memberitahu, apa yang paling penting ketika ini ialah suaminya cukup memahami dan sentiasa memberikan galakkan kepadanya.

“Dia memberi sokongan atas apa sahaja yang saya lakukan. Cuma dia berpesan agar pandai menjaga diri dan nama baik keluarga. Saya bersyukur dia amat memahami saya,” kata Noraniza dalam riak wajah penuh gembira.

Menyentuh tentang zuriat pula sambil ketawa kecil ujar Noraniza: “Rasanya tak akan bertambah kot. Sebab kami masing-masing dah ada anak. Jadi sudah mencukupi.”

Sibuk dengan projek sejarah

Beralih kepada kerjaya seninya, Noraniza memberitahu, pada masa ini dia sibuk memberi tumpuan pada projek usaha sama Pelayaran Masyhur Laksamana Cheng Ho.

Projek usaha sama antara syarikatnya dan Lestari Tours Sdn. Bhd., ini memberi peluang kepada para pengunjung untuk menerokai sejarah dan pengembaraan Cheng Ho di Melaka.

“Saya kini sangat sibuk dengan program promosi Dataran Pahlawan Melaka. Banyak program yang akan berlangsung. Pada 1 Mei ini program akrobatik dan pertunjukan silap mata akan diadakan di sana.

“Manakala pada 1 Ogos ini akan berlangsung pelancaran dan program Pelayaran Masyhur Laksamana Cheng Ho selama tiga bulan,” terang ibu kepada Mohd. Alif Haikal, 19, dan Mohd. Alfeq Haikal, 15, ini lagi

Khalayak yang berminat bolehlah menghubungi Lestari Tours Sdn. Bhd. di talian 016-7236699.

Tiket-tiket berharga RM 10 dan RM 20 dikenakan bagi menyaksikan persembahan tersebut.

Album baru

Meskipun sibuk menguruskan aktiviti perniagaannya, penyanyi bersuara lemak ini menegaskan, bidang seni tidak akan sama sekali dilupakannya.

Menurutnya, besar kemungkinan sekitar Jun depan dia akan mula masuk studio rakaman semula.

“Saya sedang mengumpul material dan Alhamdulillah saya dah mendapat lagu daripada beberapa komposer antaranya Cat Farish dan Yasin.

“Buat masa sekarang saya masih lagi mencari lagu-lagu yang sesuai dengan konsep album saya,” kata Noraniza yang masih lagi mengekal konsep etnik kreatif sebagai tunjang albumnya.

07 June 2008

EKSKLUSIF : SEPARUH AKHIR MUZIK-MUZIK 1993

Sila ke sini untuk melihat video Noraniza Idris sewaktu persembahan lagu Monolog Luka untuk Separuh Akhir Muzik-Muzik 1993.